Oleh Azzman Jamal
BANGI, Isnin – Malaysia mencatatkan prestasi eksport berjumlah RM124 bilion pada September, menurun RM319.5 juta atau 0.3% berbanding bulan sama tahun lepas.
Ketua Pengkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, prestasi menyusut itu dipengaruhi oleh eksport lebih rendah di kebanyakan negeri.
Beliau berkata, Selangor mencatatkan penurunan nilai eksport RM2 bilion, Kedah (RM1.5 bilion), Negeri Sembilan (RM769.4 juta), Pahang (RM501.1 juta), Wilayah Persekutuan Labuan (RM353.9 juta) dan Sarawak menurun RM347.3 juta.
Katanya, Melaka mencatatkan penyusutan RM313.2 juta diikuti Terengganu (RM193.5 juta), Kuala Lumpur (RM172.8 juta dan Perlis merosot RM22.4 juta.
“Bagaimanapun nilai eksport meningkat di Pulau Pinang sebanyak RM3.6 bilion, Johor bertambah RM1.5 bilion, Perak (RM1 bilion), Sabah (RM187 juta manakala Kelantan meningkat RM28.1 juta.
“Pulau Pinang kekal sebagai pengeksport utama dengan sumbangan 37.5%, diikuti Johor (20.6%), Selangor (15.6%), Sarawak (6.5%) dan Kuala Lumpur sebanyak 4.5%,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Uzir berkata, prestasi Import September 2024 pula meningkat RM10.9 bilion atau 10.9% berbanding bulan sama pada 2023.
Katanya, peningkatan import disebabkan oleh import yang lebih tinggi di kebanyakkan negeri yang mana Johor merekodkan RM4.7 bilion, Pulau Pinang (RM4.2 bilion), Kuala Lumpur (RM3.1 bilion) Selangor (RM2.6 bilion) dan Perak sebanyak RM210 juta, Kedah (RM201.5 juta manakala nilai import Terengganu bertambah RM123.6 juta.
“Bagaimanapun, nilai import di Melaka merosot RM1.6 bilion, Negeri Sembilan (RM1.1 bilion), Pahang (RM464.9 juta), Sarawak (RM177.3 juta), Labuan (RM107.7 juta) Sabah RM25.2 juta manakala Perlis menyusut RM13.5 juta,” katanya.
Tambah beliau, Selangor mendominasi import Malaysia dengan sumbangan 26.5%, diikuti oleh Johor dengan 23.3%, Pulau Pinang (22.6%), Kuala Lumpur (9.5%) dan Kedah sebanyak 5.6%.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI