Oleh Wartawan TV Pertiwi
BANGI, 20 SYAABAN — Pertubuhan Ikatan Wanita Antarabangsa bagi Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualiti (WAFIQ) menggesa lelaki di negara ini kembali kepada fungsi sebenar.
Exco Hak dan Perlindungan Kanak-Kanaknya, Maryam Shakirah Zulfakar berkata apa yang ditonjolkan sebahagian pengunjung lelaki berpakaian wanita dalam satu majlis minggu lalu amat memalukan.
“Lelaki itu sifatnya qawwam (bertanggungjawab). Jantan, kuat dan berani menghadapi perjuangan hidup untuk memperoleh nafkah bagi keluarganya.
“Dia juga bertanggungjawab melindungi kaum wanita dari bahaya yang mengancam keselamatan keluarganya dan rakyat di bawahnya.
“Lelaki sejati tidak akan mampu berpakaian apatah lagi berperwatakan seperti wanita kerana dia tahu itu bukan mencerminkan definisi lelaki itu sendiri,” katanya.
Beliau mengulas sebahagian pempengaruh lelaki yang tular di media sosial memperagakan pakaian wanita ketika acara permaidani merah sebelum Anugerah Juara Lagu (AJL) minggu lalu.
Penampilan itu mengundang kecaman warga maya malah TV3 sebagai penganjur memohon maaf dan berjanji insiden sama tidak akan berulang pada masa depan.
Maryam Shakirah berkata lelaki sejati ialah golongan yang mampu mengangkat pedang dan mampu bersusah mencari nafkah untuk ahli keluarga.
Katanya, kaum lelaki diseru untuk kembali kepada fungsi sebenar dan tidak mengenakan pakaian yang ganjil dan keterlaluan.
“Marilah kembalikan lelaki kepada fungsinya yang sebenar. Kalau warna rambut pun dilarang apatah lagi pakai ‘dress’ atau melaram seperti wanita.
“Lelaki yang bersifat seperti wanita dan menyalahi fitrahnya ini ditakuti menjadi penyebab kepada terbitnya nafsu songsang dan hubungan songsang.
“Pihak berkuasa hendaklah bertegas dan sekurang-kurangnya membuat siasatan kerana pada siapa lagi masyarakat hendak berharap kalau bukan pada golongan penguasa,” katanya.
Ikuti media sosial TV PERTIWI: