BANGI, Rabu – Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) Datuk Nasiruddin Mohd Ali bersama 22 lagi individu didakwa di Mahkamah Sesyen Selayang hari ini atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan terancang.
Antara yang didakwa adalah anak bekas pengasas ajaran sesat Al-Arqam, Ashaari Muhammad iaitu Adib At-Tamimi bersama 20 lagi individu lain.
Individu lain yang dituduh ialah, Mohd Shukri Mohd Noor, Muhammad Afdaluddin Latif, Mohamad Sayuti Omar, Mohd Fazil Md Jasin, Mohd Dhirar Fakhrur Razi, Mokhtar Tajuddin, Muhammad Fajrul Islam Khalid, Abu Ubaidah Ahmad Shukri, Shuhaimi Mohamed, Hasnan Abd Hamid dan Muhammad Zahid Azhar @ Nadzri.
Turut dituduh ialah, Khalilatul- Zalifah Mohammad Jamil, Nur Jannah Omar, Hamimah Yakub, Asmat @Asmanira Muhammad Ramly, Nurul Jannah Idris, Siti Salmiah Ismail, Siti Hajar Ismail dan Mahani Kasim.
Selepas pertuduhan dibaca secara berasingan dihadapan Hakim Lailatul Zuraida Harron @ Harun kesemua tertuduh hanya mengangguk dan menyatakan mereka faham.
Namun, tiada pengakuan direkodkan kerana kes berkenaan disiasat mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas ) 2012 (SOSMA) yang berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mereka yang tertuduh berada dalam lingkungan 27 hingga 72 tahun itu dituduh mengikut Seksyen 130V(1) Kanun keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 20 tahun jika disabit kesalahan.
Peguam Datuk Rosli Kamaruddin yang mengetuai barisan pembelaan mewakili semua tertuduh, memohon panduan dari mahkamah mengenai soal jaminan kerana pertuduhan kerana kes akan dibawa ke Mahkamah Tinggi.
Hakim memaklumkan urusan jaminan akan dibuat di Mahkamah Tinggi.
Dalam pada itu, barisan pendakwaan semasa sesi prosiding dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Razali Che Ani, Datuk Nazran Mohd Sham, Lina Hanini Ismail dan Siti Hajar Mat Radzi.
Selain itu, Hakim Lailatul Zuraida menetapkan 23 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Sumber: BERNAMA
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI