Oleh: Tyah Helmi
BANGI, Selasa – Polis sudah mengenal pasti individu yang memuat naik video menghina agama Islam menerusi media sosial.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, polis akan mengambil keterangan lelaki itu dalam masa terdekat memandangkan dia sedang mendapatkan rawatan kesihatan mental di hospital.
Katanya, pihak polis memandang serius berhubung ini dan menegaskan kes kini masih di peringkat siasatan.
“Satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 14 Akta Akta Kesalahan Kecil 1995,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Rusdi menasihatkan orang ramai untuk tidak terus menularkan video berkenaan kerana bimbang ia akan menimbulkan kegusaran masyarakat.
Semalam, tular sebuah video memaparkan seorang lelaki mengeluarkan kata-kata kesat dengan mengaitkan agama Islam dan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Sementara itu, Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) turut mengecam tindakan lelaki itu dan turut mempersoalkan sama ada perbuatan dikategorikan sebagai 3R atau sebaliknya.
Timbalan Ketua Penerangan PERKASA, Azrol Mansor menegaskan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu berharap pihak berkuasa akan mengambil tindakan tegas supaya perbuatan sama tidak berulang pada masa hadapan.
“PERKASA berharap tindakan tegas melalui undang-undang yang sedia ada dapat diambil dan jangan biarkan ia menjadi barah yang boleh membuatkan orang Melayu hilang sabar.
“Kepada rakyat Malaysia, PERKASA berharap untuk belajar menghormati bangsa majoriti di negara ini dan jangan mencabar kesabaran orang Melayu,” ujarnya.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI