Harga siling beras putih tempatan tidak berubah sejak 2008 – Menteri

Oleh: Azzman Jamal

 

BANGI, Rabu – Harga maksimum beras putih tempatan (BPT) yang ditetapkan pada kadar RM2.60 sekilogram tidak berubah sejak 2008, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu. 

 

Justeru, beliau berkata, kementerian itu berpandangan harga siling beras tempatan perlu disemak kembali dengan mengambil kira kos pengeluaran semasa, unjuran kos pada masa hadapan serta pergerakan harga beras putih dunia.

 

Ujarnya, kementerian itu sudah menubuhkan satu pasukan petugas khas untuk meneliti isu-isu berkaitan industri padi dan beras negara termasuk kajian daya saing struktur harga padi dan beras negara.

 

“Selepas 16 tahun, harga maksimum beras tempatan belum lagi disemak.

 

“Harga jualan BPT adalah berkait langsung dengan harga belian padi. 

 

“Sejak 2008, harga lantai belian padi telah dinaikkan daripada RM750 satu tan metrik kepada RM1,200 satu tan metrik pada 2014 dan terkini pada kadar RM1,300 setiap tan metrik manakala harga BPT masih kekal tidak berubah,” katanya.

 

Beliau berkata demikian menerusi jawapan bertulis bagi menjawab soalan Ahli Parlimen Padang Terap, Nurul Amin Hamid di Dewan Rakyat.

 

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, pihak kementerian sedang menunggu laporan hasil kajian terhadap industri padi dan beras yang bakal dikemukakan oleh Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) tidak lama lagi.

 

Katanya, dapatan hasil kajian tersebut akan dijadikan rujukan kepada pihak kementerian untuk menambah baik industri padi beras melalui pasukan petugas khas yang telah ditubuhkan,

 

“KPKM ingin memberi komitmen bahawa kebajikan para pesawah akan terus diutamakan dan diberikan perhatian sewajarnya,” tambahnya.

 

IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

MP DAP gesa Jabatan Imigresen mohon maaf kepada King Sing

Next Post

Pegang mentol, pelajar tahfiz maut terkena kejutan elektrik

Related Posts