Terdapat beberapa pihak yang mengintai rumah perlindungan menempatkan kanak-kanak GISBH yang diselamatkan semasa Operasi Global pada bulan lalu.
Perkara itu didedahkan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri yang mana pihaknya tidak dapat pastikan sama ada perbuatan berkenaan dilakukan oleh ibu bapa kanak-kanak berkenaan atau sebaliknya.
Justeru, pihaknya mengambil langkah memperketatkan lagi kawalan keselamatan bagi melindungi kanak-kanak terlibat.
“Kita dapat memerhati tempat-tempat kita (rumah perlindungan), ada orang yang mengintai di luar sana. Kita tidak tahu sama ada ini ibu bapa atau siapa. Sebab itu kita perlu pastikan tempat itu betul-betul selamat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas Program Kolaborasi Strategik Bersama Kerajaan Negeri: Reformasi Penyaluran Bantuan Am Negeri di Putrajaya, hari ini.
Nancy berkata, setakat ini pihaknya belum dapat membenarkan ibu bapa atau waris kepada kesemua kanak-kanak itu melawat kerana bimbang sebaik perkara itu dilakukan, ia akan mengundang kehadiran ramai pihak tidak berkenaan dan bukan hanya ibu bapa kanak-kanak yang diselamatkan itu.
Katanya, seramai 560 kanak-kanak ditempatkan di tempat perlindungan itu setelah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mendapat perintah jagaan sementara oleh mahkamah bagi tempoh dua bulan.
Tegas beliau, setiap tindakan yang dilakukan oleh JKM adalah berlandaskan peruntukan undang-undang termasuk semasa serbuan dibuat bersama dengan pihak polis.
Justsru, beliau meminta orang ramai supaya tidak terpengaruh dengan maklumat disebarkan menerusi media sosial yang mengatakan bahawa ibu bapa dilarang menuntut anak-anak mereka.
Beliau berkata, proses mengembalikan kanak-kanak kepada ibu bapa kandung perlu dilakukan secara teliti, termasuk mematuhi undang-undang sedia ada untuk mengelak sebarang masalah berbangkit. – Bernama
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI