Ahli Parlimen Pasir Gudang mohon kembalikan cuti hujung minggu Jumaat 

Oleh : Wartawan TV Pertiwi 

 

BANGI, Selasa –  Ahli Parlimen Pasir Gudang Johor,  Hasan Karim berharap cuti hujung minggu pada hari Jumaat dan Sabtu di Johor dikekalkan.

 

Kata beliau di Facebooknya semalam,  cuti hujung minggu di Johor bukan sekadar cuti biasa sebaliknya ia mempunyai makna dari segi sejarah dan budaya negeri itu.

 

Jelasnya, Johor adalah sebuah negeri Melayu dalam Persekutuan Tanah Melayu dari kumpulan Negeri-Negeri Melayu tidak bersekutu sama seperti negeri-negeri Kelantan, Terengganu dan Kedah.

 

Di negeri-negeri Melayu tidak bersekutu, cuti hujung minggunya  ialah pada hari Jumaat dan Sabtu.

 

Dari sudut sejarah tambah beliau, negeri-negeri Melayu tidak bersekutu ini adalah negeri yang paling kurang pengaruh jajahan Inggeris yang mengenakan pengaruh budaya ke atas tanah jajahannya seperti negeri-negeri Selat: Melaka dan Pulau Pinang serta negeri-negeri Melayu bersekutu seperti Selangor, Perak, Pahang dan Negeri Sembilan yang kesemua negeri Selat dan Negeri-negeri Melayu Bersekutu ini dipaksa cuti ikut kehendak penjajah Inggeris iaitu pada hari Sabtu dan Ahad.

 

Justeru itu katanya, perubahan yang akan berlaku di Johor dalam hal hari cuti hujung minggu mempunyai makna yang tersendiri iaitu melupakan pengertian budaya dan sejarah politik Johor itu sendiri.

 

“Johor dirahmati Allah dengan segala kemajuaan duniawi dari segi kebendaan dan material berbanding dengan negeri-negeri lain dalam Malaysia walau pun cuti hujung minggunya selama ini adalah pada hari Jumaat dan Sabtu, katanya.

 

“Hari Jumaat adalah hari yang mulia dalam budaya Islam, Johor adalah antara negeri yang paling banyak masjid, dan hari Jumaat mempunyai pengertian yang besar bagi masyarakat Islam di seluruh dunia.Tidak akan jadi Johor mundur jika dikekalkan hari Jumaat adalah hari cuti bagi Johor yang memberi penghormatan yang tinggi kepada rakyat Islam di Johor. Rakyat Johor yang bukan Islam menerima hakikat budaya dan sejarah politik Johor mengapa hari Jumaat adalah hari cuti di Johor.”

 

Kata Hasan, perubahan untuk menjadikan hari Jumaat sebagai hari bekerja dan hari Ahad sebagai hari cuti di Johor pernah berlaku beberapa tahun yang lalu namun ia tidak bertahan lama kerana rakyat Islam di Johor tidak menyokongnnya.

 

Oleh itu kata beliau menurut pandangannya, sebagai rakyat biasa juga sebagai Ahli Parlimen biasa dari negeri Johor beliau tidak boleh berbuat apa-apa selain menyuarakan perkara itu.

 

“Dengan rendah hati saya selaku anak jati Johor, seorang anak Melayu berbudaya Melayu dan beragama Islam yang menghormati sejarah dan budaya Johor, maka izinkan saya menzahirkan rasa tidak bersetuju saya dengan perintah yang dibuat oleh  raja pemerintah negeri Johor ini yang ingin menukar hari Jumaat menjadi hari bekerja dengan menggantikan hari Ahad seperti yang dikehendaki penjajah Inggeris selama ini sebagai hari cuti.”

 

IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA.

Klik http://www.wasap.my/60185772915/iklanpertiwi 

 

#cutihujungminggu  #Johor #Jumaat #sejarah

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Previous Post

UMNO komited jalinkan kerjasama antara parti dalam Kerajaan Perpaduan – Zahid

Next Post

Saran PMX saman Bloomberg, Isham dipanggil polis

Related Posts