Oleh: Wartawan Pertiwi
BANGI, Rabu – Lima Pegawai Kadet Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang terlibat dalam tiga kes buli terhadap penuntut institusi berkenan akan diambil tindakan oleh Kementerian Pertahanan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, antara tindakan yang diambil mereka ialah pembatalan pelantikan sebagai Pegawai Kadet dan pemberhentian perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Katanya, mereka juga perlu membuat bayaran ganti rugi kepada kerajaan yang dikira daripada keseluruhan perbelanjaan yang telah dibelanjakan sepanjang tempoh pengajian.
Ujar Khaled, perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Angkatan Tentera (MAT) Siri 623 yang bersidang pada Selasa.
“Tindakan yang dikenakan ini tidak tertakluk kepada tindakan lain yang diambil oleh pihak UPNM sendiri mahupun Jabatan Peguam Negara,” katanya.
Dalam pada itu beliau berkata, tindakan berkenaan membabitkan kes penganiayaan terhadap penuntut UPNM Pegawai Kadet Muhammad Salman Mohd Saiful Suresh yang menjadi mangsa tekapan seterika ke dadanya oleh Pegawai Kadet Amirul Iskandar Ahmad Norhanizan.
“Pelaku Amirul dibatalkan pelantikan sebagai Pegawai Kadet, ditamatkan perkhidmatan dalam ATM dan dikenakan bayaran ganti rugi kepada kerajaan berjumlah RM44,600.20.
“Pelaku juga telah dituduh di Mahkamah Sesyen Jenayah Kuala Lumpur di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan pada 8 November 2024 dan prosiding masih berjalan,” ujarnya.
Manakala untuk kes kedua pula katanya, melibatkan penganiayaan terhadap Pegawai Kader Alief Ahsreihan Ahslemy oleh Pegawai Kadet Izzat Izuddin, Pegawai Kadet Muhammad Hidayat Haqimi Mohd Yuslan dan Pegawai Kadet Ku Muhammad Irfan Ku Zaimi.
“Ketiga-tiga Pegawai Kadet telah menganiaya mangsa melalui Hukuman Pembetulan, tindakan salah laku secara fizikal, mengarahkan mangsa melakukan kerja-kerja peribadi dan tindakan pengasingan yang menyebabkan gangguan emosi terhadap mangsa.
“Pendedahan kes ini adalah melalui maklumat awal yang diterima oleh Ketua Kompeni daripada seorang pensyarah di UPNM.
“Ketiga-tiga pelaku telah dibatalkan pelantikan sebagai Pegawai Kadet, ditamatkan perkhidmatan dalam ATM dan masing-masing dikenakan bayaran ganti rugi kepada Kerajaan Malaysia sejumlah RM48,452.75, RM19,481.70 dan RM44,600.20,” kata beliau.
Tambah beliau, kes ketiga pula melibatkan penganiayaan terhadap Pegawai Kadet Yeong Kian Rui oleh Pegawai Kadet Ammar Hafiy Muhammad Habib yang menyebabkan kecederaan fizikal dan telah dikenal pasti setelah jurulatih merasa curiga ketika mangsa meminta untuk mendapatkan rawatan perubatan.
“Siasatan mendapati mangsa mengalami ‘kecederaan tisu lembut di bahagian bawah belakang akibat trauma’.
“Pelaku dibatalkan pelantikan sebagai Pegawai Kadet, ditamatkan perkhidmatan dalam ATM dan dikenakan bayaran ganti rugi kepada Kerajaan sejumlah RM32,115.95,” katanya.
Tegasnya, kementeriannya tidak akan sesekali bertindak terhadap apa-apa bentuk penganiayaan dalam mana-mana institusi ketenteraan dan akan terus memperbaiki mekanisme pencegahan bagi mengelakkan kejadian sebegini berulang kembali.
Sumber: Awani
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI