Oleh: Tyah Helmi
BANGI, Rabu – Ketua Polis Negara, Tan Sri Razaruddin Hussain mendedahkan para pengikut GISB Holdings Sdn Bhd masih lagi berada dalam negara dan sukar untuk lari ke luar negara.
Razaruddin berkata, pengikut GISBH kini sedang menyorok dan tidak berkemampuan untuk lari ke luar negara kerana tiada duit, gaji dan sebagainya.
“Kepimpinan tertinggi GISBH telah ditangkap, jadi yang ada di bawah (pengikut GISBH) tidak ada kemampuan untuk lari (ke sempadan negara). Pengikut GISBH ada dalam negara dan mereka menyorok kerana tiada duit, gaji dan sebagainya untuk melarikan diri,” katanya kepada BERNAMA.
Tambahnya, mereka turut sukar untuk melarikan diri ke sempadan Malaysia-Thailand khususnya di Kelantan, kerana segala dana, elaun dan kewangan mereka dikawal oleh kepimpinan mereka yang telah ditangkap serta akaun mereka turut dibekukan pada baru-baru ini.
“Jika mereka melarikan diri sekalipun ke Thailand ke mana mereka hendak pergi ? Yang lima kepimpinan tinggi GISBH telah polis tahan awal, jadi saya tidak nampak mereka ke sana (Thailand),” katanya.
Beliau turut berkata, hasil risikan dan siasatan oleh pihaknya tidak menunjukkan para pengikut GISBH berjaya melarikan diri ke sempadan negara.
“Buat masa ini tiada maklumat mengatakan pengikut-pengikut GISBH melarikan diri ke sana (sempadan negara),” katanya.
Sumber: BERNAMA
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA.
Klik http://www.wasap.my/60185772915/iklanpertiwi
#TVPertiwi #GISBH #Razaruddin #Ikhwan #Arqam #AjaranSesat