Oleh Wartawan TV Pertiwi
BANGI, 27 SYAABAN — Wakil Presiden Amerika Syarikat (AS) di Asia Barat memaklumkan Israel akan membebaskan tahanan yang terkandas minggu lalu.
Steve Witkoff berkata perbincangan fasa dua gencatan senjata juga akan diteruskan dengan menggunakan negara pengantara sama iaitu Qatar dan Mesir, lapor AFP.
“Banyak perkembangan sudah dicapai. Israel kini sedang menyiapkan pasukannya untuk berunding. Rundingan akan berlangsung sama ada di Kaherah atau di Doha,” katanya.
Israel bersetuju membebaskan 620 tahanan Palestin yang terkandas minggu lalu dengan Hamas akan menyerahkan empat mayat tahanan.
Hamas berkata proses pertukaran tahanan itu akan dikawal selia Mesir dengan semua tahanan di Gaza akan dibebaskan pada fasa kedua gencatan senjata.
Israel minggu lalu enggan membebaskan 620 tahanan Palestin selepas Hamas didakwa melakukan upacara pembebasan yang memalukan Israel.
Hamas membebaskan tiga tebusan yang ditahan ketika Festival Muzik Nova pada 7 Oktober 2023 dan dua lagi tebusan yang ditahan ketika memasuki Gaza pada 2014.
Seorang tahanan, Shem Tov dilihat mencium kepala dua pejuang Hamas sambil menunjukkan keceriaan kepada hadirin.
Hamas dijangka menerima 620 tahanan termasuk 151 tahanan yang menjalani hukuman penjara seumur hidup kerana cubaan menyerang Israel.
Daripada jumlah itu, hampir 100 tahanan akan dipindahkan dari Palestin termasuk Nael Barghouti yang ditahan sejak 45 tahun lalu kerana membunuh pemandu bas Israel.
Berdasarkan perjanjian, 620 tahanan Palestin akan dibebaskan termasuk 445 lelaki, 23 remaja dan seorang wanita yang masih belum dituduh di mahkamah.
Ikuti media sosial TV PERTIWI: