Oleh Wartawan TV Pertiwi
BANGI, 2 RAMADAN — Rakyat Palestin di Gaza kesal sekatan bantuan kemanusiaan oleh Israel ekoran Hamas enggan melanjutkan fasa pertama gencatan senjata.
Umm Mohammad Abu Laia berkata sekatan yang bermula sejak pagi semalam dibimbangi menyebabkan peningkatan harga barangan di pasaran tempatan, lapor AFP.
“Kami tidak melihat ada trak yang masuk. Harga barangan asas melonjak sebaik sahaja peniaga mendengar mengenai penutupan lintasan,” katanya.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam menggesa Israel kembali membenarkan kemasukan bantuan ke Gaza.
Setiausaha Agungnya, Antonio Guterres berkata semua trak bantuan perlu segera dibenarkan memasuki Gaza dengan semua pihak diseru menghormati perjanjian gencatan senjata.
Katanya, Hamas dan Israel perlu mengelak daripada terjadinya perang dengan saki-baki tahanan perlu dibebaskan sebagaimana dijanjikan.
Israel menggantung penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza selepas Hamas enggan meneruskan fasa pertama perjanjian gencatan senjata.
Sementara itu, Pejabat PBB bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) menyifatkan tindakan Israel itu melanggar undang-undang antarabangsa.
Trak yang sarat dengan bantuan kemanusiaan masih dihalang memasuki Rafah selepas tiada perkembangan rundingan menerusi perantara Mesir dan Qatar.
Fasa pertama gencatan senjata berakhir minggu lalu dengan fasa kedua bakal membebaskan baki tahanan dan pengunduran penuh Israel dari Gaza.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu semalam menegaskan Hamas akan menerima padah jika pasukan pejuang itu enggan melanjutkan fasa pertama gencatan senjata.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi