Oleh: Wartawan Pertiwi
BANGI, Isnin – Pemandu yang dipercayai di bawah pengaruh alkohol terbabit merempuh pasangan suami isteri hingga maut di persimpangan lampu isyarat Jalan Besar, Jalan Mesjid Pasir Gudang pada Ahad dibebaskan dengan jaminan polis.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak berkata lelaki terbabit pada awalnya ditahan di lokasi kejadian dan suspek kini sedang dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI), Pasir Gudang.
“Kita sedang lengkapkan kertas siasatan sebelum dirujuk ke Pejabat Pendakwaan Negeri untuk tindakan selanjutnya,” katanya kepada Harian Metro hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan sepasang suami isteri disahkan maut di lokasi kejadian setelah motosikal mereka dirempuh kereta dipandu lelaki yang dipercayai mabuk pada awal pagi Ahad.
Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu di bawah pengaruh minuman yang memabukkan dan menyebabkan kematian.
Kemalangan yang tragis itu turut menyebabkan lima anak pasangan terbabit iaitu Nur Aleesha Aindah Abdullah, (Orang Kurang Upaya), Muhammad Ikmal Danish, Nur Shahkira Mohd Ridzwan, Nur Shahmira Mohd Ridzwan, dan Nur Aisyah Humairah Mohd Ridzwan, menjadi yatim piatu.
Sumber: Harian Metro
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI