Oleh: Azzman Jamal
BANGI, Rabu – Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) menyifatkan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing gagal melaksanakan tugasnya mengikut objektif kementerian yang dipimpinya.
Malah, Setiausaha Agung PEMBELA, Mohd Aswanizam Alias berkata, King Sing juga telah melanggar sumpah setia sebagai seorang wakil rakyat dan ahli Kabinet apabila gagal melaksanakan kewajipan mempertahankan Perlembagaan iaitu mengangkat kedaulatan bahasa Kebangsaan.
Katanya, mengukuhkan jati diri bangsa juga merupakan tugas yang diamanahkan dalam kementerian yang dipimpin King Sing.
“Mempertahankan kedaulatan maruah negara merupakan kewajipan King Sing yang terikat dengan sumpah setia yang dilafazkannya.
“King Sing dua kali bersumpah setia di hadapan Yang di-Pertuan Agong. Kali pertama sebagai Ahli Parlimen dan kedua memegang jawatan Kabinet.
“King Sing berkali-kali melanggar sumpah setianya untuk mempertahankan Malaysia dan Perlembagaannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Justeru, Mohd Aswanizam berkata, sudah tiba masa untuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menasihatkan Agong untuk membatalkan jawatan yang disandang King Sing atau menasihatkan Ahli Parlimen Bintulu itu untuk meletakkan jawatan menurut Perkara 43(5) Perlembagaan Persekutuan.
“Menteri yang berkali-kali melakukan perkara melanggar sumpah jawatan mereka, mencemarkan komitmen Perdana Menteri itu sendiri dalam mempertahankan sumpah setianya pula kepada Yang di-Pertuan Agong.
“Jika King Sing terus kekal memegang jawatan, ianya menunjukkan Perdana Menteri gagal untuk memastikan semua anggota Kabinetnya menghormati sumpah setia yang dilafazkan,” tambahnya.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI