Oleh Wartawan TV Pertiwi
BANGI, 16 Jamadil Akhir — Menteri Kesihatan hari ini memuji kejujuran Datuk Seri Mohamad Hasan yang sedia didenda kerana merokok di sebuah restoran di Negeri Sembilan.
Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata Timbalan Presiden UMNO itu sendiri menyatakan kesediaan untuk didenda selepas fotonya merokok di restoran tular di media sosial.
“Hari ini pegawai diberi kuasa dari Pejabat Kesihatan Daerah Seremban akan berjumpa Tok Mat untuk notis kesalahan dan diberikan kompaun. Pejabat menteri sudah pun maklum.
“Jujurnya, Mohamad sendiri minta Kementerian Kesihatan isukan kompaun ke atas kesalahan tersebut dan beliau memberitahu saya, kompaun akan dibayar,” coretnya di aplikasi X.
Seorang pengguna aplikasi X minggu lalu berkongsi foto Mohamad, nama popular Tok Mat memegang puntung rokok bersama rakan-rakannya di sebuah restoran.
Kiriman itu kemudian menarik perhatian Dr Dzulkefly mendakwa Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 sudah pun berkuatkuasa pada Oktober lalu.
Dr Dzulkefly berkata selepas Akta 852 itu berkuatkuasa, tiada siapa pun yang boleh mengatasi undang-undang.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI