Oleh Balqis Idris
BANGI, 6 RAMADAN — Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (IKHLAS) menegur kerajaan berikutan ketiadaan wakil India sebagai menteri penuh dalam kerajaan.
Presidennya, Datuk Mohd Ridzuan Abdullah berkata pentadbiran kerajaan dahulu dan sekarang amat berbeza terutamanya dari sudut perpaduan antara kaum.
“Di bawah kerajaan dahulu, pembentukan Kabinet, kita lihat pembahagian kerusi kepada kaum Melayu, Cina dan India memang teratur.
“Hari ini kita lihat dalam Kabinet yang sedia ada sekarang ini, tiada seorang pun menteri penuh daripada kaum India.
“Bila kaum India tidak dilantik menjadi menteri penuh, apabila berlaku isu perkauman akhirnya tiada siapa yang tampil ke depan hendak membela kaum masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi wawancara yang disiarkan di TikTok IPK TV hari ini mengulas insiden penghinaan agama yang berlaku di Malaysia.
Katanya, pimpinan kaum India dalam kerajaan semasa boleh dipersoalkan selepas tiada yang dilantik menjadi menteri.
“Hari ini kita ingat MIC yang menjadi ketua kepada kaum India. Kalau kita lihat di sebelah Pakatan Harapan, siapa yang kita hendak label ketua kaum India?
“Apabila mereka duduk dalam pentadbiran kerajaan yang sedia ada sebagai menteri Kabinet sudah tentu mereka ada kuasa untuk menasihat orang di bawah,” katanya.
Mohd Ridzuan berkata perlu ada seorang wakil khusus untuk kaum India supaya suara masyarakat itu lebih didengari dalam pentadbiran kerajaan sekarang.
Katanya, kerajaan hari ini perlu lebih peka dan serius terhadap keseimbangan kaum dalam Kabinet agar menjamin kestabilan politik negara.
“Apa yang sebelum ini saya pernah kata di televisyen pada 2016, di mana bermula 2018 akan berlaku pergaduhan politik. Jangan suatu hari dalam negara ini akan berlaku insiden 13 Mei.
“Maksudnya lebih dahsyat daripada 13 Mei akan berlaku sekiranya kerajaan yang kononnya kerajaan perpaduan tetapi saya tidak nampak perpaduan tersebut.
“Di mana Perdana Menteri kata sama rata, sama rata apa? Menteri Kabinet, tiada seorang pun mewakili kaum India menjadi menteri penuh,” katanya.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi