Oleh: Azzman Jamal
BANGI, Khamis – Pihak berkuasa perlu mencari jalan untuk pastikan individu yang mempunyai masalah mental tidak mendapat akses memandu kenderaan, kata pakar automotif, Hezeri Samsuri.
Beliau berkata, sekiranya orang yang mempunyai sakit mental dibenarkan memandu kemudian berlaku kemalangan, maka perlu ada yang bertanggungjawab ke atas kejadian itu.
Tambahnya, individu yang ada sejarah sakit seperti sawan, disarankan berada di bawah pengawasan kesihatan untuk pastikan sama ada layak atau tidak memandu kenderaan.
“Ini bukan soal susah, leceh atau meroyan.
“Ini soal keselamatan dan nyawa pengguna jalan raya yang mungkin membabitkan orang yang ada sendiri kenal,” katanya menerusi ciapan di X.
Semalam, media melaporkan tiga penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun maut apabila motosikal yang mereka naiki dirempuh sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) yang dipandu seorang wanita.
Mangsa yang terlibat ialah Khairil Anwar, 20, Ku Adib Ku Azmi, 20 dan Muhammad Akmal Md Tukirin yang berusia 25 tahun.
Sementara itu, rakan mereka, Mohd Ammar Danish Mohd Rodhyan, 20, cedera parah.
Tular di media sosial termasuk beberapa portal berita mendakwa pemandu SUV terbabit dipercayai tidak siuman, bagaimanapun setakat ini masih tiada pengesahan daripada pihak berkuasa.
#TVPertiwi
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA.