Oleh Wartawan TV Pertiwi
Jabatan Insolvensi Malaysia (Mdl) melahirkan kebimbangan dengan kadar kebankrapan baharu dalam kalangan penjawat awam, lapor Bernama.
Ketua Pengarahnya, Datuk M Bakri Abd Majid berkata penjawat awam setakat ini mewakili 14 peratus daripada jumlah kebankrapan negara dan ia mencatat peningkatan saban tahun.
“Kegagalan pegawai awam menguruskan kewangan dengan baik bukan sahaja memberi kesan kepada individu dan keluarga malah kepada ekosistem perkhidmatan awam negara.
“Bagi penjawat awam yang diisytiharkan bankrap, tindakan tatatertib boleh diambil akibat keterhutangan yang serius selain mencemarkan imej perkhidmatan awam.
“Sekaligus menjejaskan peluang kenaikan gaji dan pangkat selain kelayakan pembayaran bonus dan bantuan kewangan turut terjejas,” katanya.
Sehubungan itu, M Bakri berkata ketua jabatan diingatkan untuk memantau tahap keterhutangan kakitangan di bawah seliaan mereka.
Katanya, pemantauan berterusan mampu mengekang amalan negatif seperti rasuah dan salah guna kuasa di kalangan penjawat awam.
“Tindakan pencegahan awal harus dijalankan dengan memperbanyakkan aktiviti berkaitan pengurusan kewangan peribadi.
“Jabatan juga boleh bekerjasama dengan pakar atau penasihat kewangan bertauliah bagi membincangkan hal berkaitan pengurusan kewangan,” katanya.
M Bakri berkata penjawat awam juga perlu dilindungi daripada terlibat dengan pinjaman baharu selepas Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) berkuatkuasa hujung tahun ini.
Katanya, terdapat golongan yang cuba ‘menangguk di air keruh’ dengan menawarkan pinjaman baharu dan ia perlu dihalang dalam memastikan aliran tunai sihat penjawat awam.
#jiwamerdeka67
Kenapa perlu bayar lebih, IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DENGAN KAMI Di TV Pertiwi.
Klik : http://www.wasap.my/60185772915/iklanpertiwi
#TvPertiwi