Bekas Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Eddin Syazlee Shith meninggal dunia 7.10 pagi tadi di rumahnya di Bukit Chedang, Seremban.
Kesihatan Eddin Syazlee, 50, mula merosot sejak lima bulan lepas dan menerima rawatan susulan di sebuah di hospital swasta, lapor BERNAMA.
Jenazah Allahyarham akan dibawa ke Masjid Chedang, Seremban untuk disolatkan dan seterusnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bandar Ainsdale.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan, Mohamad Hanifah Abu Baker menyifatkan Allahyarham seorang ahli politik berpengalaman dan suka memberi bimbingan.
“Datuk Eddin dibawa pulang ke rumahnya semalam selepas menerima rawatan di sebuah hospital swasta di sini. Allahyarham meninggal dunia di rumahnya.
“Kami berada di rumahnya sejak malam tadi bersama-sama keluarga, pemergian Allahyarham satu kehilangan besar untuk PN negeri ini,” beliau dilaporkan berkata.
Bekas Ahli Parlimen Kuala Pilah itu meninggalkan seorang balu, Datin Dr Nurul Azlin Ibrahim dan dua anak lelaki serta seorang perempuan.
Semasa hayatnya, Allahyarham pernah dilantik sebagai timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri dan timbalan menteri kerja raya.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA. Klik http://www.wasap.my/60185772915/iklanpertiwi
#TVPertiwi #EddinSyazlee #belasungkawa #takziah