BANGI, Isnin – Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir memberi jaminan bahawa suara ahli akademik tidak akan disekat dan akan diberi kebebasan untuk menyuarakan pandangan.
Bagaimanapun, beliau berkata, ahli akademik juga perlu berpegang kepada etika dan disiplin ilmu masing-masing.
“Saya akan pastikan kebebasan ahli akademik untuk menyuarakan pandangan mereka tidak dikekang. Jika ada sekatan, saya akan menjadi orang pertama dalam Kabinet yang menentang perkara itu.
“Kita perlu memahami dalam konteks apa yang sebenarnya disebutkan oleh UKM itu, apakah benar-benar ia cuba mengongkong? katanya semasa merasmikan Konvensyen Akademia 2024 anjuran Akademi Profesor Malaysia, Putrajaya, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas isu memo dalaman daripada Jabatan Pendaftar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang ditularkan oleh bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik.
Sebelum ini, Maszlee dalam laman X mendedahkan memo terbabit yang diterima oleh rakan akademiknya.
Memo itu menyatakan peringatan kepada semua ahli akademik untuk tidak membuat kenyataan awam, termasuk di media sosial melainkan ia dibenarkan berbuat demikian.
Menurut Mazlee, peringatan tersebut disampaikan daripada Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar melalui mesyuarat pengurusan Jabatan Perdana Menteri 2024.
“Jika disabitkan dengan kesalahan dan mengingkari mana-mana peraturan yang sedang berkuat kuasa tindakan tatatertib boleh dikenakan kepada pegawai awam yang terlibat,” jelas memo tersebut.
Sumber: Berita Harian
#KPT #Memo #UKM #AhliAkademik #Zambry #Maszlee
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI