Oleh Kamil Awang
BANGI, 14 SYAABAN — Pengerusi Eksekutif Andalusia Travel and Tours menyambut baik pengumuman kerajaan Arab Saudi melarang kanak-kanak mengerjakan ibadah haji pada tahun ini.
Datuk Md Daud Che Ngah berkata haji tidak diwajibkan kepada kanak-kanak yang belum mencapai usia akil baligh selaras dengan tuntutan syarak.
“Larangan Arab Saudi terhadap kanak-kanak untuk menunaikan haji adalah tepat. Ini kerana kanak-kanak belum baligh tidak wajib haji.
“Kalau ramai bilangan mereka kurangkan kuota haji bagi dewasa yang sudah wajib mengerjakan haji jika mampu,” katanya kepada TV Pertiwi.
Beliau diminta mengulas pengumuman Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi yang melarang kanak-kanak untuk menunaikan haji.
Kementerian itu mendakwa larangan berkenaan dibuat atas faktor keselamatan terhadap kanak-kanak selain menangani isu keselamatan semasa musim haji.
Larangan berkenaan mengundang kekecewaan terhadap agensi pelancongan yang sudah mengambil wang deposit jemaah yang mahu menunaikan haji bersama anak-anak.
Jemaah berkenaan juga kesal kerana terpaksa menangguhkan ibadah haji selain terpaksa menuntut semula wang deposit mereka.
Md Daud berkata kesempurnaan ibadah haji mungkin tidak tercapai jika ibu bapa terpaksa mengawasi anak-anak mereka ketika berada di tanah suci.
Katanya, setiap jemaah perlu fokus kepada setiap rukun dan syarat wajib haji agar impian mendapat haji yang mabrur akan tercapai.
“Apa lagi jika ibu bapa yang membiayai lagilah tidak tercapai matlamat pergi haji itu dengan usaha sendiri.
“Kehendak sendiri adalah atas panggilan syariah. Bukan atas ajakan ibu bapa,” katanya.
Ikuti media sosial TV PERTIWI: