Oleh Wartawan TV Pertiwi
Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) menggesa penguatkuasaan papan tanda tidak hanya dilakukan di Kuala Lumpur malah bandar utama lain di Malaysia.
Presidennya, Jais Abdul Karim berkata penguatkuasaan yang hanya tertumpu di Kuala Lumpur hanya akan mencetuskan persepsi berat sebelah.
“MCW menyeru agar undang-undang kecil berkaitan papan tanda dikuatkuasakan secara berkala dan seragam di semua bandar utama.
“Ia seperti Pulau Pinang, Johor Bahru, Kuching, Miri, dan Kota Kinabalu. Fokus eksklusif kepada Kuala Lumpur boleh mencetuskan persepsi tidak konsisten atau berat sebelah.
“Penguatkuasaan undang-undang harus dilakukan secara adil, telus dan tidak berat sebelah bagi memastikan kepercayaan masyarakat terus terpelihara,” katanya.
Beliau berkata demikian mengulas penguatkuasaan dilakukan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) terhadap papan iklan yang meminggirkan bahasa Melayu.
Katanya, penguatkuasaan terhadap papan tanda tidak boleh dilakukan secara bermusim terutama selepas teguran bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
“Masa operasi yang bertepatan dengan kenyataan Tun Mahathir turut mencetuskan spekulasi sama ada tindakan ini dipengaruhi sentimen viral atau politik.
“MCW mencadangkan penubuhan platform aduan awam yang membolehkan masyarakat memuat naik gambar papan tanda yang tidak mematuhi peraturan.
“Aduan ini boleh dihantar terus kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk tindakan pantas, meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan dan ketelusan,” katanya.
Jais berkata memastikan keutamaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan adalah penting tetapi harus dilakukan dengan mengambil kira sensitiviti masyarakat majmuk.
Katanya, pihak berkuasa perlu menjalankan sesi penerangan dan dialog bersama peniaga bagi memastikan semua pihak memahami peraturan dan kepentingannya.
“MCW mencadangkan agar aduan awam yang tidak diambil tindakan dijadikan sebahagian daripada penilaian Indeks Penunjuk Prestasi (KPI) PBT.
“MCW bersedia untuk bekerjasama dengan DBKL, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan PBT lain dalam memberikan pandangan konstruktif.
“MCW memandang serius isu integriti dalam penguatkuasaan papan tanda awam, khususnya yang melibatkan bahasa pada papan tanda perniagaan,” katanya.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI