Oleh Wartawan TV Pertiwi
BANGI, 28 Rejab — Datuk Dr Muhammad Akmal Saleh menggesa MCA Johor memohon maaf susulan pertikaian dana Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Ketua Pemuda UMNO itu berkata isu tol percuma sama sekali tiada kaitan dengan dana yang diterima JAKIM menerusi bajet tahunan kerajaan.
“Kamu boleh padam kenyataan tersebut tetapi kami desak MCA Johor untuk memohon maaf dalam tempoh 24 jam dan jika tidak, laporan polis akan kami lakukan.
“Cukuplah dengan pemikiran bodoh ini yang tidak habis-habis agama Islam seolah-olah diperlekehkan!
“Tidak kira siapa kamu. Jika dengan pemikiran sebegini, kami akan lawan habis-habisan,” katanya menerusi coretan di laman Facebook miliknya hari ini.
Dr Akmal mengulas kiriman MCA Johor di laman Facebook yang mempersoalkan bantuan kepada rakyat Palestin, cetakan Al-Quran dan dana diterima JAKIM.
Katanya, kiriman MCA Johor ini seolah-olah memperlekeh usaha kerajaan dalam menegakkan syiar Islam melalui dana yang diberikan kepada JAKIM.
“Kenapa perlu pertikaikan bajet untuk pembangunan Al-Quran dan bantuan JAKIM dibandingkan dengan bantuan tol sempena Tahun Baru Cina?
“Seolah-olah perkara yang dilaksanakan oleh kerajaan yang Islam adalah agama persekutuan untuk membantu umat Islam itu diperlekehkan.
“Kalau kamu hendak marah sebab tidak dapat tol percuma, itu kamu punya pasallah tetapi jangan sampai bantuan kepada umat Islam kamu hendak pertikaikan!” katanya.
Ikuti media sosial TV PERTIWI: