Oleh Wartawan TV Pertiwi
Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menafikan video pekerja gerai mencuci kuali menggunakan air longkang berlaku di daerah itu.
Jabatan Korporat dan Perhubungan Awam MBSA berkata pihaknya sudah melakukan siasatan dan ternyata insiden berkenaan tidak berlaku di Shah Alam.
“Pihak MBSA sudah mengambil tindakan segera dengan melakukan siasatan dan hasil semakan mendapati gerai tersebut tidak berada di kawasan pentadbiran MBSA.
“MBSA ingin menasihatkan orang ramai untuk mengeluarkan kenyataan tidak sahih dan boleh mengelirikan masyarakat.
“Tindakan undang-undang boleh diambil kepada mana-mana pihak yang menyebarkan berita palsu kerana menjejaskan imej MBSA,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Tular video 24 saat sejak kelmarin memaparkan seorang pekerja warga asing mencuci kuali menggunakan air longkang.
Insiden berkenaan berjaya dirakam seorang wanita tanpa mendedahkan lokasi sebenar gerai yang ditularkan.
Dalam kenyataan sama, Jabatan Korporat dan Perhubungan Awam MBSA mengingatkan peniaga di daerah itu agar mematuhi peraturan kebersihan makanan yang ditetapkan.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap para pengendali makanan yang tidak mematuhi peraturan kebersihan makanan yang sudah ditetapkan.
“Orang ramai juga boleh mengemukakan aduan kepada MBSA sekiranya terdapat premis atau pengendali makanan yang tidak menjaga kebersihan,” katanya.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI
#MBSA #longkang #ShahAlam #gerai #warung