Oleh Wartawan TV Pertiwi
BANGI, 11 RAMADAN — BERSATU Port Dickson menggesa Majlis Bandaraya Seremban (MBS) memulangkan kembali pintu penduduk rumah pangsa yang ditanggalkan minggu lalu.
Ketuanya, Chegubard berkata tindakan MBS ibarat kumpulan samseng apabila pintu bilik dan tandas pemilik juga ditanggalkan semasa operasi.
“Apa punca kuasa bagi MBS ‘mencuri’ pintu? Nampak lebih kepada ala gangster. Kenapa tidak diambil tindakan mahkamah berdasarkan undang undang?
“Rumah pangsa itu dihuni orang miskin. Dalam keadaan ekonomi dengan kos kehidupan menggila, ke mana mereka hendak pergi selepas pintu rumah mereka diambil MBS?
“Lebih lagi sekarang isu jenayah meningkat. Apa jadi kepada mereka, anak kecil, anak gadis, isteri dan orang tua. Pintu tandas juga hilang,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan hari ini mengulas operasi MBS mencabut pintu penyewa di Rumah Pangsa Lobak di Seremban minggu lalu.
MBS memaklumkan enam pintu ditanggalkan susulan kegagalan penduduk melunaskan sewa tertunggak di antara RM17,000 hingga RM34,000.
Katanya, semua pintu rumah terlibat ditanggalkan sebagai pengajaran supaya mereka segera menjelaskan tunggakan.
“Penyewa masih dibenarkan tinggal di premis berkenaan untuk sementara waktu sebelum dapat menjelaskan tunggakan atau mendapatkan kediaman di tempat lain,” katanya.
Chegubard berkata BERSATU sangat memahami isu tunggakan namun ini bukan kali pertama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mengambil tindakan ala gangster kepada rakyat miskin.
“Saya mendesak semua tindakan ala gangster ini dihentikan dan semua pintu rumah dipulangkan.
“Aidilfitri bakal menjelang, ihsan manusia harus diletak di depan. Kes seperti ini wajib ditangani secara mahkamah dan undang undang,” katanya.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi