Oleh Wartawan TV Pertiwi
BANGI, 28 Rejab — Persatuan Ulama Malaysia (PUM) memuji usaha Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) yang bercadang menyekat penjualan arak di kawasan majoriti umat Islam.
Yang Dipertuanya, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz berkata cadangan MBI itu rasional kerana menghormati kedudukan bukan Islam di Malaysia.
“Langkah ini sepatutnya dipuji terutamanya di kawasan majoriti Melayu Muslim di mana arak adalah haram menurut hukum Islam.
“PUM melihat bahawa MBI mengambil langkah yang amat rasional dan sangat menghormati kedudukan orang bukan Islam.
“Apabila pewartaan mengenai larangan penjualan arak hanya melibatkan kawasan tertentu sahaja yang majoriti Muslim dan tidak melibatkan keseluruhan kawasan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan yang disiarkan di laman Facebook PUM semalam mengulas kenyataan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
Nga Kor Ming kelmarin menggesa MBI mengekalkan status quo penjualan arak di bandaraya itu susulan cadangan melarang penjualannya di kawasan majoriti umat Islam.
Ahli Parlimen DAP itu berkata larangan penjualan arak di kawasan majoriti Muslim hanya akan menjejaskan keharmonian antara kaum.
Wan Mohamad berkata kenyataan Nga yang menyokong penjualan arak jelas tidak mencerminkan hasrat majoriti rakyat yang mahu pengawalan arak lebih ketat.
Katanya, mengekang penjualan arak bukan hanya seiring dengan ajaran agama Islam tetapi juga bertepatan dengan norma moral masyarakat yang lebih luas.
“Ramai sudah menyedari bahawa arak boleh mendatangkan mudarat seperti kemalangan jalan raya, keganasan rumah tangga, hubungan terlarang dan masalah sosial yang lain.
“Oleh itu, PUM ingin mencadangkan agar kerajaan bertindak tegas dalam isu ini sebagai langkah memperkasa masyarakat sivil yang baik selaras dengan agenda madani.
“PUM juga meminta jemaah menteri untuk bertindak berani dalam menangani isu ini,” katanya.
Ikuti media sosial TV PERTIWI:
https://www.instagram.com/tvpertiwiofficial/