Oleh Wartawan TV Pertiwi
Datuk Onn Hafiz Ghazi menggesa isu pertukaran cuti hujung minggu di negeri Johor tidak terus dipolitikkan kerana ia selaras dengan tuntutan Islam.
Menteri Besar Johor itu berkata, selaras dengan firman Allah dalam Surah Al-Jumuah, kaum muslimin dituntut bertebaran selepas melaksanakan solat Jumaat.
“Intipati firman tersebut memerintahkan kita umat Islam pada hari Jumaat agar memperbesarkan syiar Islam dengan segera untuk meninggalkan segala urusan.
“Namun selepas solat Jumaat ditunaikan, kita bahkan diperintahkan untuk kembali bertebaran (termasuk kembali bekerja atau melakukan amal ibadah juga jariah),” katanya.
Onn Hafiz berkata demikian dalam kiriman terbaru di Facebook miliknya mengulas titah Pemangku Sultan Johor, Tengku Mahkota Ismail.
Tengku Mahkota Ismail dalam satu kiriman di Facebook malam tadi bertitah pertukaran cuti hujung minggu dibuat selepas mengambil pandangan pelbagai.
Titah baginda, ia termasuk Yang Di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Majlis Agama Islam Johor, kerajaan negeri, agensi kerajaan dan rakyat jelata.
Baginda bertitah jika ada pihak yang tidak berpuas hati dan hendak melaga-lagakan rakyat, mereka dipersilakan pindah ke negeri yang masih bercuti Jumaat dan Sabtu.
Onn Hafiz berkata pertukaran cuti hujung minggu tidak sedikit pun mengenepikan kepentingan solat Jumaat bahkan ia memberi masa berkualiti bersama keluarga.
“Kerajaan negeri yakin keputusan ini bakal memberi manfaat kepada seluruh bangsa Johor di mana mereka akan mendapat lebih masa berkualiti bersama ahli keluarga tersayang.
“Saya berharap agar tidak ada lagi mana-mana pihak membuat sebarang spekulasi, kenyataan dan menjadikan ia bahan politik yang boleh mengeruhkan keadaan,” katanya.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI
#solatJumaat #MBJohor #OnnHafiz #Johor #TMJ