BANGI, Jumaat – Syarikat Malaysia, Mawar Setia akan membeli pegangan majoriti dalam penyedia perkhidmatan mudah alih dan jalur lebar, U Mobile, demikian menurut Singapore Technologies Telemedia (ST Telemedia).
Dalam satu kenyataan, syarikat berpangkalan di Singapura itu berkata, Mawar Setia akan membeli pegangan dalam U Mobile daripada Straits Mobile Investments, anak syarikat ST Telemedia.
Katanya, Straits Mobile akan memiliki 20% pegangan kepentingan selepas urus niaga itu selesai.
Butiran kewangan berkaitan urus niaga itu bagaimanapun tidak didedahkan oleh ST Telemedia, syarikat yang dimiliki oleh sayap pelaburan kerajaan Singapura, Temasek.
Mawar Setia merupakan syarikat di Malaysia, menurut kenyataan itu yang tidak mendedahkan butiran lain berkaitan syarikat berkenaan.
ST Telemedia, yang memiliki perniagaan termasuk pusat data dan teknologi infrastruktur berkata, U Mobile akan tidak lagi menjadi anak syarikatnya selepas perjanjian dengan Mawar Setia selesai. – Reuters
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI