اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ
“Sesiapa yang berselawat ke atas diriku sekali nescaya Allah SWT berselawat ke atas dirinya sebanyak sepuluh kali”.
Oleh : Nur Arrish
BANGI, Isnin – Demikian maksud hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad Imam Ahmad, Ibnu Hibban dan al-Hakim menunjukkan betapa umat Islam digalakkan untuk sentiasa berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW.
Beberapa hadis lain turut menyatakan mengenai tuntutan berselawat. Antaraya hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmizi, Nabi Muhammad SAW telah bersabda yang bermaksud; “Orang yang bakhil ialah seseorang yang tidak berselawat ke atas diriku”.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang berselawat kepadaku pada waktu pagi sepuluh kali dan pada waktu petang sepuluh kali, ia akan memperoleh syafaatku pada hari kiamat.” (Riwayat Al-Tabrani).
Sempena sambutan Maulidur Rasul 1446 Hijrah hari ini, berselawat wajar menjadi satu tuntutan yang perlu kita hayati sebagai umat di akhir zaman ini yang diuji dengan pelbagai dugaan. Walau dalam abad ke-20, umat masa kini bukanlah umat yang berada pada zaman Rasulullah berjuang menegakkan agama Allah, namun untuk merasai kedekatannya, selawat boleh menjadikan kita sebagai salah seorang umat yang sentiasa mengingati Baginda.
Selawat diambil daripada perkataan solat yang bererti doa dan pujian. Jika diambil daripada istilah kamus Bahasa Melayu selawat boleh didefinisikan sebagai doa kepada Allah agar minta dilimpahkan rahmat ke atas Nabi Muhammad SAW. Bacaan Selawat Nabi Muhammad SAW beserta maksud perlu dipelajari supaya dapat menjadikannya amalan dalam kehidupan seharian.
Kelebihannya sangat banyak malah dengan berselawat kita juga sentiasa mengingati Nabi Muhammad SAW yang merupakan pesuruh Allah dan kekasih Allah yang amat kita sanjung tinggi. Pengorbanan Nabi Muhammad SAW sangat besar kepada umatnya.
Bukan sahaja perkembangan Islam yang besar dan pertambahan umat Islam, malah Baginda, sentiasa mendahulukan umatnya daripada diri Baginda sendiri. Sirah Nabi SAW banyak memperlihatkan kisah hidupnya yang sentiasa mengutamakan umatnya tanda kasih sayang Baginda kepada kita.
Allah berfirman dalam Surah al-Ahzab, ayat 56 yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW); wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya”.
Justeru itu, selawat sangat penting diamalkan oleh setiap umat Islam berdasaran dalil-dalil daripada hadis dan ayat suci Al-quran mengenai kepentingan berselawat.
Amalan selawat ke atas Baginda Rasululllah sangat banyak antaranya memperoleh syafaat dan perlindungan serta pembelaan daripada Nabi SAW di akhirat.
Berselawat juga akan menjadikan diri kita tenang, mendapat keampunan daripada Allah SWT juga diberi rahmat daripadaNya.
Semoga kita sentiasa menjadi umat yang sentiasa berselawat ke atas Baginda Rasulullah SAW yang amat dicintai.
#TVPertiwi #Selawat #Mauldiurrasul1446H