Oleh Yusre Mize
KUALA LUMPUR, Selasa – Pelaksanaan Garis Panduan Kawalan Perbelanjaan Awam dan Kad Kredit Korporat yang dikeluarkan Kementerian Kewangan Malaysia mencetuskan kebimbangan yang ketara khususnya 60 peratus syarikat ejen pelancongan Bumiputera yang dilihat bakal gulung tikar.
Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) memaklumkan, pekeliling tersebut menggalakkan pihak kerajaan menggunakan kad kredit korporat untuk pembelian tiket penerbangan berbanding menggunakan waran perkhidmatan bagi urusan rasmi.
Timbalan Presiden MATTA, Sheikh Awadh Sheikh Abdullah berkata, pihak kerajaan, jabatan, agensi dan syarikat berkenaan kerajaan (GLC) lebih berminat membuat pembelian secara terus kepada syarikat penerbangan dan hotel berbanding menggunakan waran perjalanan dan menggunakan perkhidmatan ejen.
Berikutan itu, ejen pelancongan Bumiputera yang memainkan peranan penting dalam menyediakan perkhidmatan tempahan tiket bagi lawatan kerja kerajaan urusan rasmi penjawat awam dilihat bakal tidak relevan susulan pelaksanaan pekeliling ini.
Menurut Sheikh Awadh, hasil daripada tinjauan MATTA di kalangan ahli Bumiputera MATTA menunjukkan penurunan yang mendadak dalam perkembangan perniagaan ejen pelancongan Bumiputera.
“Sejak tahun 2023, sebanyak 76.5 peratus daripada syarikat pelancongan mengalami penurunan keuntungan mendadak dengan 65 peratus syarikat telah mengalami kerugian sebanyak lebih daripada RM500,000 secara keseluruhan sejak tahun 2022.”
“Tekanan kewangan ini telah menyebabkan kadar pemberhentian pekerja mencecah 70 peratus di kalangan syarikat pelancongan tersebut selain perlu bekerja keras membina semula perniagaan mereka pasca pandemik Covid-19,” katanya dalam satu sidang media di ibu pejabat MATTA di sini, hari ini.

Timbalan Presiden MATTA, Sheikh Awadh Sheikh Abdullah (tengah) ketika sidang media di Ibu Pejabat MATTA pagi tadi.
Tambahnya, ejen pelancongan Bumiputera merupakan salah satu tonggak utama dalam pembangunan ekonomi negara yang menyumbang kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sambil mewujudkan peluang pekerjaan dan meningkatkan taraf hidup masyarakat.
Justeru, Sheikh Awadh menggesa pihak kerajaan untuk menilai semula pindaan pekeliling ini, agar lebih banyak peluang dapat diberikan kepada agensi pelancongan Bumiputera dan mengembalikan peranan mereka dalam menyokong jabatan, agensi, dan syarikat berkaitan.
“Setiap dasar yang diperkenalkan harus dinilai secara holistik, mengambil kira kesan yang lebih luas terhadap keseluruhan ekosistem ekonomi Malaysia.
“MATTA juga menyeru keseimbangan antara usaha penjimatan kos dan sokongan kepada IKS Bumiputera diwujudkan, demi memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan merangkumi semua sektor,” ujarnya.
Dalam pada itu, salah seorang ejen pelancongan Bumiputera, Mohd Ali Ab Malek memaklumkan keadaan mana-mana agensi pelancongan Bumiputera kini sedang meruncing dan pihaknya menggesa kerajaan membantu agensi berkenaan.
“Saya sendiri telah hilang pendapatan kira-kira 70 peratus pada tahun 2022. Ini pun dah nyawa-nyawa ikan.”
“Syarikat tempahan atas talian kebanyakkan luar negara tak bayar pun cukai tetapi kami syarikat yang ada untung perlu bayar cukai kepada kerajaan.”
“Kemungkinan seluruh agensi pelancongan sekarang ini sedang berusaha sambung nyawa atau ubah kepada bahagian lain yang secara dasarnyanya memang sangat terkesan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau meminta kerajaan mengadakan pertemuan dengan agensi pelancongan Bumiputera dan mendengar pandangan mereka selaras dengan dasar Ekonomi MADANI yang mahu memperkasakan rakyat dan Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35).

Ejen pelancongan Bumiputera, Mohd Ali Ab Malek
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI