Oleh Wartawan TV Pertiwi
BANGI, 9 Rejab — Ketua Wanita BERSATU menggesa Datuk Seri Tiong King Sing mengakui kesilapannya apabila tiada imej masjid dalam video pelancaran promosi Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026.
Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata penjelasan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya itu boleh dipersoalkan apabila video penuh masih dalam proses suntingan.
“Menteri menyatakan video itu dalam proses peringkat akhir dan akan dikeluarkan nanti. Sudah terhantuk baru terngadah.
“Maknanya belum ada lagi sebarang video promosi yang lengkap bagi tujuan itu yang sudah disediakan. Tiada!” coretnya di laman Facebook miliknya hari ini.
King Sing semalam mendakwa video tular yang tidak memaparkan imej masjid dibuat hanya untuk majlis pelancaran TMM 2026 sahaja.
Katanya, masjid akan disertakan dalam video promosi yang lebih panjang dan terperinci termasuk elemen keunikan dan keindahan negara termasuk seni bina masjid yang memukau.
“Saya cadangkan menteri mengaku saja berlaku kekhilafan dan menyatakan akan lebih berhati-hati di masa hadapan. Cukup!
“Menteri sepatutnya lebih peka dan tidak perlu hendak menyalahkan pihak lain dengan sekali lagi memainkan sentimen isu agama dan kaum,” katanya.
Mas Ermieyati berkata video itu mencerminkan keengganan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) mengiktiraf Malaysia sebagai destinasi pelancongan Muslim.
Katanya, sejak 2015 Malaysia mengekalkan kedudukan teratas buat kali kesembilan berturut-turut sebagai destinasi mesra Muslim terbaik untuk pelancong.
“Mungkin menteri lupa yang negara Malaysia ini populasinya yang tertinggi adalah Melayu Islam. Agama persekutuan negara ini ialah agama Islam.
“Pastinya dengan tularnya video tersebut menjentik sensitiviti hati ramai rakyat Malaysia. Sepatutnya beliau dan pihak kementerian perlu lebih berhati-hati.
“Apatah lagi dalam melancarkan kandungan video dan bahan kempen yang akan memberi impak bukan hanya di peringkat nasional tetapi di seluruh dunia,” katanya.
Ahli Parlimen Masjid Tanah itu berkata King Sing juga tidak wajar mengaitkan video itu dengan unsur perkauman.
Katanya, video berkenaan jelas dilihat tidak seimbang apabila hanya menonjolkan rumah ibadat bukan Islam semata-mata.
“Menteri mengatakan pihak yang mengecam itu sebagai golongan ekstremis dan boleh mencabar keharmonian sosial di Malaysia. Tidak patut menteri menjawab sedemikian rupa.
“Saya yakin ramai rakyat Malaysia akan lebih gembira malah menyokong kempen TMM 2026 apabila ia dilakukan dengan baik dan seimbang,” katanya.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI
Ikuti media sosial TV PERTIWI:
https://www.instagram.com/tvpertiwiofficial/