Oleh Wartawan TV Pertiwi
BANGI, 28 SYAABAN — PAS mendakwa kerajaan terus menipu rakyat selepas isu campuran beras import dan tempatan masih gagal diselesaikan.
Ketua Penerangannya, Ahmad Fadhli Shaari berkata selepas dua tahun menerajui kerajaan, penyelewengan terus berlaku dengan tiada penyelesaian tuntas.
“Kerajaan berjaya menampilkan kebolehannya dalam satu perkara: membiarkan rakyat ditipu tanpa tindakan tegas.
“Ini bukan sahaja satu bentuk penipuan ke atas pengguna tetapi juga mengancam keterjaminan makanan negara. Penipuan ini bukanlah perkara baharu.
“Kerajaan tidak boleh terus bermain wayang dan mengalihkan perhatian rakyat dengan isu-isu lain sementara skandal besar seperti ini berlaku di depan mata,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi coretan di laman Facebook miliknya hari ini mengulas pendedahan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).
MARDI semalam mendedahkan 40 hingga 50 peratus daripada 5,000 sampel beras import yang diuji didapati dicampur dengan beras putih tempatan.
Pegawai Penyelidik Kanannya, Mohd Shahril Firdaus Ab Razak berkata, keputusan itu diperoleh melalui teknologi pencapjarian DNA.
Katanya, analisis dilakukan susulan operasi Jawatankuasa Bersepadu Beras Putih Tempatan bagi mengenal pasti ke mana hilangnya beras putih tempatan.
Ahmad Fadhli berkata kerajaan masih gagal menangani kelemahan dalam sistem kawal selia industri beras di Malaysia sehingga berlaku manipulasi pihak terlibat.
Katanya, tiada akta khusus yang melarang pencampuran beras tempatan dengan beras import menyebabkan eksploitasi berleluasa.
“Lebih parah, kerajaan sendiri masih dalam ‘perbincangan’ untuk memperkenalkan peraturan baharu.
“Dengan kata lain, kerajaan mengaku mereka sedar tentang masalah ini tetapi masih tidak bertindak tegas.
“Mungkinkah mereka sedang menunggu lebih ramai rakyat tertipu sebelum bertindak?” soalnya yang membangkitkan janji kerajaan untuk mengakhiri skandal itu.
Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata janji Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2023 untuk mengheret pihak yang terlibat ke muka pengadilan masih belum terbukti.
Katanya, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan harus dipertanggungjawabkan dengan MARDI perlu segera membuat laporan polis.
“Kalau dahulu, sudah tentu Pakatan Harapan akan mendesak menteri yang terlibat meletak jawatan. Tetapi kali ini, kita tidak mahu desakan seperti itu. Mengapa?
“Kerana walaupun menteri letak jawatan, jika Perdana Menteri masih orang yang sama, masalah tetap tidak akan selesai.
“Oleh itu, hadap dan selesaikan masalah ini segera sementara masih ada mandat. Jangan tunggu pilihan raya akan datang,” katanya.
Sertai Saluran Telegram TV Pertiwi: t.me/tvpertiwi