Oleh Wartawan TV Pertiwi
BANGI, 8 Rejab — Presiden AMANAH menggesa umat Islam tidak terpedaya dengan perjuangan PAS menjadikan agama sebagai modal politik.
Datuk Seri Mohamad Sabu berkata sepanjang 37 tahun penglibatannya dalam PAS, parti Islam itu memperguna agama demi kelangsungan agenda politik.
“Saya bersama PAS lebih 37 tahun iaitu dari 1978 hinggalah 2015. Kemudian saya memilih untuk bersama AMANAH yang lahir daripada pergolakan yang berlaku dalam PAS.
“Selama berada dalam PAS, saya diajar oleh ulama PAS bahawa perbezaan antara PAS dan UMNO bukan setakat perbezaan politik tetapi ianya sampai ke peringkat perbezaan akidah.
“Saya yang begitu cetek dalam pengajian agama mempercayai bulat-bulat hujah yang digunakan oleh ulama PAS ketika mengkafirkan UMNO,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi coretan di laman Facebook miliknya hari ini.
Katanya, umat Islam tidak perlu gusar dan gelisah atas apa juga tuduhan yang dilemparkan PAS.
“Tuduhan atau gelaran yang dikeluarkan PAS hanyalah bersifat semasa dan untuk kepentingan politiknya saja.
“Kami yang sudah tertipu kononnya perbezaan dengan UMNO itu adalah perbezaan akidah tetapi ternyata ia adalah permainan untuk mengekalkan sokongan orang Melayu kepada PAS.
“Justeru ahli AMANAH dan umat Islam di negara ini janganlah terpedaya lagi dengan permainan PAS kerana semua hujah mereka hanya sandiwara dan boleh berubah pada bila-bila masa,” katanya.
Mohamad yang mesra disapa Mat Sabu berkata istilah mengkafirkan UMNO dan solat dua imam selama ini hanyalah modal untuk mengaut sokongan politik dan tidak terkait pegangan akidah.
Katanya, terdapat banyak bukti bahawa fatwa PAS boleh diubah sesuka hati demi untuk menghalalkan sesuatu tindakan.
“Misalnya bila hendak larang ahli PAS turun berdemontrasi, mereka guna dalil jangan campakkan dirimu ke dalam kebinasaan.
“Tetapi bila hendak kerah ahli PAS untuk turun berdemonstrasi, mereka guna pula dalil berjuanglah ke jalan Allah dengan harta dan nyawamu.
“Maka bolehlah kita simpulkan bahawa segala tuduhan dan persepsi yang cuba dimainkan PAS hanyalah suatu sandiwara politik,” katanya.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI
Ikuti media sosial TV PERTIWI: