Oleh Wartawan TV Pertiwi
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memaklumkan sejumlah 3,657 kenderaan Perodua Alza dan Aruz keluaran 2024 perlu hadir ke pusat servis bagi tujuan pemanggilan semula.
JPJ dalam satu kenyataan semalam berkata kenderaan tersebut dipanggil semula bagi tujuan penyelarasan kerana ketinggian sasaran lampu utama tidak mematuhi spesifikasi.
“Setiap pemilik kenderaan yang terlibat akan dihubungi oleh pihak Perodua bagi proses penyelarasan slot pemeriksaan kenderaan masing-masing.
“Atau pemilik kenderaan turut dibenarkan secara walk-in ke mana-mana pusat servis yang berhampiran di seluruh negara.
“Mana-mana komponen yang terlibat dengan isu tersebut akan digantikan dengan kos yang ditanggung oleh pihak Perodua,” katanya.
JPJ berkata semua pemilik kenderaan model yang terlibat dimohon membuat perancangan bagi membolehkan proses pemanggilan semula dapat dijalankan secepat mungkin.
Katanya, JPJ akan memantau proses pemanggilan semula itu dan komited memastikan semua unit kenderaan disahkan selamat.
Dalam kenyataan sama, JPJ berkata 65 buah motosikal Honda CB350RS juga dipanggil semula kerana mengalami masalah sensor kelajuan roda.
“Ia menyebabkan sistem brek automatik (ABS), kawalan ayunan dan meter had laju menjadi tidak tepat,” katanya.
JPJ berkata penggantian komponen terlibat juga ditanggung sepenuhnya oleh Boon Siew Honda dengan pemilik dibenar hadir ke mana-mana pusat servis berhampiran.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI