Oleh : Nur Arrish
BANGI, Khamis – Bantuan orang ramai diminta bagi mengesan empat orang kanak-kanak tahfiz yang dipercayai keluar dari Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Datuk Keramat sejak 8 Oktober lalu.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismaul berkata, kesemua mangsa berusia di antara 10 dan 12 tahun dilaporkan keluar pada Selasa dan selepas itu tidak pulang semula ke pusat tahfiz terbabit.
Memetik Malaysia Gazette, setakat ini kata beliau keempat-empat orang itu belum ditemui.
Tambah Mohamad Lazim, polis akan membuka Kertas Enkuiri Polis (KEP) dan siasatan lanjut masih dijalankan berhubung kes itu.
Tular di media sosial berhubung kehilangan empat kanak-kanak merupakan penghuni tahfiz terbabit setelah kejadian disedari ustaz mereka sekitar jam 10.30 malam lalu meminta bantuan orang ramai bagi mengesan mangsa.
Sebelum itu kehilangan Nurul Aliya Zulkifli, 20, sejak 6 Oktober lalu turut dilaporkan media.
Aliya dikatakan keluar membuang sampah di hadapan rumahnya di Taman Temerloh Jaya di Temerloh, Pahang.
Namun kehilangannya dalam sekelip mata itu membimbangkan keluarga lantas membuat laporan polis pada 7 Oktober lalu.
Ketua Polis Daerah Temerloh Asisten Komisioner Mazlan Hassan berkata, berdasarkan laporan, gadis terbabit keluar dari rumah pada pukul 10.15 malam bagi membuang sampah di hadapan rumahnya.
“Setelah sekian waktu pengadu (bapa mangsa) mendapati anaknya tiada di hadapan rumah dia telah membuat carian di sekitar kawasan tetapi tidak berjaya menjumpai mangsa.
Menurutnya berdasarkan maklumat, pakaian terakhir mangsa semasa hilang ialah baju blaus putih belang biru dengan seluar hitam dan memakai sandal jenama Adidas berwarna hitam.
Beliau memberitahu, mangsa yang berkulit kuning langsat, berbadan kurus dengan berketinggian 160 sentimeter dan berat kira-kira 45 kilogram.
“Kepada sesiapa yang menjumpai mangsa dan mempunyai maklumat diminta berhubung dengan pihak polis Ibu Pejabat polis Daerah (IPD) Temerloh dengan menghubungi talian 09-2716222,” ujarnya.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA.
Klik http://www.wasap.my/60185772915/iklanpertiwi
#tahfiz #oranghilang #aliya #bantuan #orangramai