Oleh Wartawan TV Pertiwi
Mangsa yang dibelasah dan ditembak oleh sekumpulan lelaki termasuk seorang kerabat diraja Pahang mahu nasibnya dibela dan mendapat keadilan sewajarnya.
Alias Awang, 44, berkata walaupun insiden berkenaan sudah tiga bulan berlalu namun beliau masih belum dapat bekerja kerana bimbang keselamatan diri dan keluarganya.
“Saya dibelasah oleh belasan orang, dan sebahagian lagi ada menunggu di luar [kabin], semuanya kira-kira 20 orang lelaki.
“Saya kemudian ditikam di paha kanan dan ditembak dua das di luar kabin tetapi tidak mengena. Saya pertahankan diri selama tiga jam, dan hampir tumbang.
“Saya buat keputusan untuk berbincang dengan mereka supaya bunuh saya sahaja daripada menyeksa,” katanya seperti dilaporkan Malaysia Gazette.
Ketua Polis Kuantan semalam memaklumkan satu kertas siasatan dibuka bawah Seksyen 324 dan Seksyen 148 Kanun Keseksaan, lapor Malaysiakini.
ACP Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata tiga orang lelaki yang disyaki sebagai suspek utama sudah ditahan dan direman tujuh hari namun dibebaskan dengan jaminan polis.
Tengku Mahkota Pahang semalam menitahkan polis menjalankan siasatan segera berhubung dakwaan seorang kerabat diraja Pahang menyerang seorang lelaki Jun lalu.
Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, baginda memandang serius insiden itu menyebabkan kecederaan kepada mangsa.
#TvPertiwi
Kenapa perlu bayar lebih, IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DENGAN KAMI Di TV Pertiwi.