Oleh Wartawan TV Pertiwi
Pemangku Ketua Polis Pulau Pinang memaklumkan dua lelaki tempatan ditahan bagi membantu siasatan penjualan disyaki alas kaki bertemakan masjid dan Kaabah.
Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata lelaki berusia 26 dan 41 tahun itu merupakan pemilik dan pekerja di sebuah bazar di George Town, Pulau Pinang.
“Pihak polis menerima satu laporan semalam daripada seorang lelaki tempatan mendapati karpet alas kaki yang dibelinya mengandungi corak masjid dan Kaabah.
“Sabtu lepas, lelaki itu melihat beberapa karpet yang disyaki bercorak Kaabah dan masjid dijual kepada orang ramai ketika berada di bazar perniagaan.
“Selepas membeli karpet tersebut, lelaki itu membuat laporan polis,” katanya dalam satu kenyataan yang disiarkan di laman Facebook Polis Pulau Pinang hari ini.
Mohd Alwi berkata dua lelaki berkenaan ditahan di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan dan Akta Kesalahan Kecil 1955.
Katanya, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat spekulasi yang menyentuh sensitiviti pihak tertentu sekaligus mengganggu siasatan polis.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI.
#alaskaki #masjid #PulauPinang #polis #Kaabah