Oleh Wartawan TV Pertiwi
BANGI, 2 Rejab — Pihak berkuasa Palestin (PA) semalam mengarahkan penggantungan siaran stesen penyiaran Al-Jazeera di seluruh wilayah itu atas dakwaan menghasut.
Agensi Berita Palestin (WAFA) melaporkan satu jawatankuasa kementerian khas mengeluarkan arahan menggantung semua aktiviti Al-Jazeera di Palestin.
“Jawatankuasa kementerian khas yang merangkumi kementerian kebudayaan, dalam negeri dan komunikasi memutuskan penggantungan itu.
“Ia merangkumi semua saluran satelit Al-Jazeera dan pejabatnya di Palestin. Arahan itu turut meliputi sekatan kerja wartawan, kakitangan, kru dan saluran berkaitan.
“Sehinggalah status syarikat mereka disahkan ekoran pelanggaran undang-undang dan peraturan yang berkuatkuasa di Palestin,” katanya.
WAFA berkata penggantungan itu dibuat atas laporan Al-Jazeera yang disifatkan sebagai menghasut, salah lapor dan gangguan terhadap urusan dalaman Palestin.
Seorang kakitangan Al-Jazeera mengesahkan pejabat mereka di Ramallah menerima arahan penggantungan itu semalam, lapor AFP.
Pasukan pejuang pembebasan Palestin, Hamas pula mengutuk tindakan PA yang menyekat penyiaran Al-Jazeera di negara itu.
“Keputusan ini sejajar dengan beberapa siri tindakan baru-baru ini yang diambil oleh PA untuk menyekat hak dan kebebasan awam.
“Kami menyeru PA untuk segera membatalkan keputusan ini. Penting untuk memastikan kesinambungan liputan media yang mendedahkan penjajahan Israel,” katanya.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI