Oleh Wartawan TV Pertiwi
PAS menggariskan enam musibah mungkin menimpa rakyat selepas pindaan Akta Komunikasi dan Multimedia yang diluluskan semalam.
Ketua Penerangannya, Ahmad Fadhli Shaari berkata bahana pertama adalah kuasa menteri meluluskan lesen tanpa proses pendaftaran.
“Seksyen 46A membolehkan menteri mengecualikan proses pendaftaran sesuatu entiti komunikasi hanya dengan satu deklarasi.
“Ini bermaksud menteri boleh membenarkan sesebuah syarikat atau platform komunikasi beroperasi tanpa perlu melalui proses pendaftaran biasa yang memerlukan dokumen.
“Bayangkan sebuah syarikat besar dari luar negara diberi pengecualian pendaftaran oleh menteri, sementara pengendali tempatan terpaksa melalui proses birokrasi yang panjang dan mahal,” katanya.
Beliau mengulas pindaan Akta Komunikasi dan Multimedia 2024 yang diluluskan di Dewan Rakyat semalam dengan undian belah bahagi.
Katanya, kepincangan kedua pindaan berkenaan adalah aktiviti audit tanpa waran sebagaimana disebut dalam Seksyen 73A.
“Seksyen 73A membolehkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) melakukan audit ke atas mana-mana entiti tanpa waran mahkamah.
“Ini bermakna pegawai SKMM boleh masuk ke premis perniagaan, pejabat, atau bilik pelayan data syarikat dan mengambil dokumen serta data digital pada bila-bila masa.
“Bayangkan SKMM muncul di pejabat anda tanpa notis dan meminta akses kepada komputer syarikat, data pelanggan, strategi perniagaan, dan maklumat peribadi pekerja,” katanya.
Ahmad Fadhli berkata kegusaran ketiga adalah penalti berat dan tidak seimbang yang mungkin memangsakan usahawan kecil.
Katanya, pindaan ini menaikkan denda daripada RM300,000 kepada RM1 juta, penjara maksimum 10 tahun dan penalti tambahan harian RM100,000 jika kesalahan berterusan.
“Katakan seorang pemilik kedai bakeri dalam talian secara tidak sengaja menghantar mesej promosi tanpa mematuhi peraturan komunikasi.
“Di bawah akta ini, dia boleh dikenakan denda RM1 juta dan hukuman penjara. Adakah ini adil?
“Sebuah syarikat teknologi yang baru bertapak mungkin tersilap menghantar emel kepada pelanggan tanpa kebenaran. Kesilapan kecil ini boleh mengakibatkan syarikat bankrap kerana denda yang tinggi,” katanya.
Ahli Parlimen Pasir Mas mendakwa kepincangan lain adalah pengesahan waran cacat, peraturan tanpa proses Parlimen dan larangan mesej komersial.
Katanya, akta berkenaan walau mempunyai niat yang baik namun memberi ancaman besar kepada kebebasan rakyat.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI