Oleh Wartawan TV Pertiwi
BANGI, 30 DIS — Aktivis politik dari Sarawak, Iswardy Morni didapati bersalah menghina Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Hakim Datuk M.M. Edwin Paramjothy membuat keputusan itu selepas pihak pembelaan gagal membuktikan kes melampaui tahap keraguan munasabah, lapor Malaysia Gazette.
Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini bagaimanapun menetapkan 23 Januari ini sebagai prosiding bagi menetapkan hukuman kepada Iswardy.
Iswardy, 47, didakwa mengeluarkan kenyataan menghasut dan menghina Al-Sultan Abdullah yang ketika itu merupakan Yang di-Pertuan Agong ke-16.
Ketua Cabang PKR Petrajaya itu melakukan kesalahan berkenaan menerusi video yang disiarkan di Facebook miliknya Iswardy Morni Official pada Mei 2021.
Iswardy didapati bersalah di bawah Seksyen 4 (1) (a) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 4 Oktober lalu memerintahkan Iswardy membela diri selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie.
Sebanyak sembilan saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan pada perbicaraan yang bermula pada 3 Januari 2022.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI