Oleh: Tyah Helmi
BANGI, Isnin – Kementerian Komunikasi tidak akan mengulas mengenai isu suntingan membabitkan wawancara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama CNN baru-baru ini.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, perkara itu diserahkan kepada pihak polis.
“Tentang tindakan yang akan mereka (pihak berkuasa) terhadap pihak yang tidak bertanggungjawab menyunting video tersebut, saya rasa lebih sesuai dijawab oleh PDRM, Terima kasih Ahli Yang Berhormat,” katanya pada sesi Pertanyaan Lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan dikemukakan Ahli Parlimen Alor Setar, Afnan Hamimi Taib Azamudden yang meminta Kementerian Komunikasi ulas mengenai dakwaan suntingan video wawancara tersebut.
Terdahulu, Menteri Komunikasi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil menyatakan klip video tular di media sosial memaparkan wawancara Anwar bersama CNN seolah-olah kerajaan mengiktiraf kewujudan Israel, disunting pihak tidak bertanggungjawab bagi memberi gambaran buruk kepada Perdana Menteri.
Fahmi berkata, klip video terbabit tidak menggambarkan keseluruhan wawancara berkenaan, sedangkan pendirian Malaysia kekal tidak mengiktiraf negara haram berkenaan.
Dalam perkembangan lain, Nie Ching berkata, pindaan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) akan mengukuhkan kuasa polis dalam menangani penularan berita palsu terutama oleh akaun palsu di media sosial.
Katanya, pindaan itu memberi kuasa kepada polis meminta penyedia platform media sosial untuk membekalkan data tertentu kepada pihak berkuasa termasuk berkaitan pemilik akun yang terbabit dengan siasatan penyebaran berita palsu.
“Di bawah pindaan kepada Akta 588, kami (MCMC) mencadangkan untuk memperkenalkan satu sesyen baharu yang memberi kuasa kepada polis untuk mendedahkan, menzahirkan data-data tersebut melalui kaedah yang akan kita nyatakan nanti,
“PDRM mempunyai kuasa untuk meminta mana-mana ‘platform provider’ untuk mendedahkan data-data tentang pengguna akaun tersebut bagi membantu siasatan pihak polis.” ujarnya.
#TVPertiwi #MCMC #KementerianKomunikasi #TeoNiChing #Anwar #CNN
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI