Oleh Wartawan TV Pertiwi
Seorang warga emas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur kerana memiliki 38 buku berkaitan bekas pengasas Al-Arqam, Ashaari Muhammad.
Aishah Bula Tajudin, 60, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret, Farah Nabihah Muhammad Dan didakwa di bawah Seksyen 8 (1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.
Suri rumah itu didakwa memiliki 38 hasil penerbitan larangan tanpa sebab yang munasabah, di sebuah rumah di Kampung Sungai Penchala, 21 September lalu, lapor Sinar Harian.
Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Sabri Othman mencadangkan tertuduh diikat jamin RM15,000 namun peguam Aishah, Boestamam Ahmad mengemukakan rayuan.
“Dia didakwa atas satu kes melibatkan 38 penerbitan dilarang sebagaimana yang diwartakan kerajaan dan pengharaman memiliki penerbitan tersebut sudah diuar-uarkan.
“Selama tiga dekad pengharaman tersebut, namun masih ada individu memiliki item berkenaan secara bersembunyi,” Mohd Sabri dilaporkan berkata.
Majistret membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dan Aishah perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan.
Tertuduh didakwa memiliki buku Darul Arqam 25 Tahun Perjuangan Abuya, Siri Terkini Era Kasih Sayang Abuya dan Abuya Ashaari Muhammad Pemimpin Paling Ajaib di Zamannya.
Jika sabit kesalahan, Aishah boleh didenda RM5,000 dan kes akan disebut semula pada 4 Disember ini.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI