BANGI, Selasa – Sekolah politik akan segera direalisasikan sejurus UMNO melakukan perbincangan berhubung peletakan modul, silibus dan sasaran kumpulan kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Beliau berkata, tindakan melakukan perbincangan lanjut berhubung hal tersebut akan diadakan dalam masa yang terdekat.
Beliau turut menyifatkan, penubuhan sekolah politik bukanlah satu perkara yang mudah kerana pelbagai aspek modul dan silibus perlu diperhalusi terlebih dahulu.
Tambahnya, beliau akan memanggil partinya untuk melihat perkara berkenaan serta memperbanyakkan sesi perbincangan lanjut.
“Di dalam sekolah itu nanti akan ada pelapis-pelapis dan mungkin ada (yang akan jadi) calon… yang (ini) kita sendiri pun tak tahu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis pelancaran Bantuan Prihatin Pahang 2024 kepada masjid, surau kebenaran Jumaat, pelajar tahfiz dan mualaf di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan, Pahang pada Isnin.
Sebelum ini, media melaporkan, Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan Barisan Nasional akan menubuhkan sekolah politik di bawah Majlis Latihan dan Penkaderan UMNO bagi melatih pemimpin pelapis yang berpotensi diketengahkan sebagai bakal calon dalam pilihan raya umum (PRU).
Ujarnya, melalui sekolah politik itu, mereka yang dikenal pasti dan terpilih akan diberi latihan secara teori dan amali kepimpinan.
Sumber: Sinar Harian
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI