Oleh: Tyah Helmi
BANGI, Rabu – Seluruh Pertubuhan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Melayu digesa untuk bersatu padu bagi memastikan peranan mereka boleh dimainkan dengan lebih besar lagi khususnya memperjuangkan isu rakyat.
Presiden BERJASA, Zamani Ibrahim berkata, NGO Melayu perlu bersatu sebagai satu badan pertubuhan yang lantang memperjuangkan isu berkaitan politik dan kepentingan rakyat di negara ini.
Katanya, amat rugi apabila memperlihatkan suasana ketika ini kebanyakan NGO Melayu begitu bergantung kepada parti politik yang mempunyai kepentingan sendiri.
Justeru itu, beliau menegaskan NGO Melayu tidak perlu lagi bergantung di bawah parti politik kerana ia didakwa bakal mencacatkan peranannya sebagai kuasa pendesak kepada parti politik.
Maka katanya, NGO Melayu dapat bergerak dengan sendiri malah berkembang dengan lebih jauh kerana tidak lagi mewakili kepentingan mana-mana pihak.
Dengan itu katanya, NGO-NGO Melayu wajar mengambil langkah segera dengan menyantuni NGO yang lain agar dapat bergerak bersama atas dasar penyatuan.
Jelasnya, dengan penyatuan yang terbentuk berkenaan membolehkan lagi banyak isu yang boleh difokuskan serta diperjuangkan secara bersama.
Misalnya, isu berkaitan tanah rizab Melayu, pendidikan dan ekonomi Bumiputera.
Pada masa yang sama, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) yang merupakan entiti terpenting negara seharusnya memainkan peranan lebih besar dengan mengumpulkan seluruh NGO Melayu di Malaysia lantas menjadi induk serta payung buat kesemua NGO terbabit.
“Semak imbang boleh dimainkan oleh YADIM dengan berperanan sebagai satu badan yang boleh melihat mana yang betul dan salah kepada NGO-NGO ini,” ujarnya seperti yang dipetik Portal Gelombang Berjasa.
“NGO Melayu ini boleh memainkan peranan yang lebih besar bukan sahaja di Malaysia malahan di kawasan Nusantara juga manfaat ini boleh dikongsi bersama”, tegas beliau.
Sumber: Portal Gelombang Berjasa
#NGOMelayu #BERJASA #YADIM #Melayu #Malaysia
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA.
Klik http://www.wasap.my/60185772915/iklanpertiwi