Oleh: Tyah Helmi
BANGI, Jumaat – Pengakuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung tajaan lawatan rasminya oleh syarikat swasta perlu disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham.
Beliau berkata, pengakuan itu cukup untuk mencetuskan satu siasatan di bawah Seksyen 16(A)(B), Akta SPRM yang menyentuh tentang kesalahan menerima suapan.
Hilman berkata, kesalahan itu juga boleh dituduh dan dihukum menurut Seksyen 165 Kanun Keseksaan.
“Pengakuan Perdana Menteri di Parlimen semalam juga mencetuskan tanda tanya dan keresahan awam sama ada bantuan Perdana Menteri atau kerajaan adalah timbal balik kepada syarikat-syarikat tersebut di atas kesanggupan mereka menanggung kos lawatan rasmi.
“Kami menggesa satu siasatan dimulakan oleh SPRM berdasarkan kenyataan dan pengakuan Perdana Menteri yang direkodkan dalam hansard Parlimen,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, SPRM boleh membuka kertas siasatan selaras dengan Seksyen 29(3) Akta SPRM.
Ujarnya, siasatan itu penting demi menyelamatkan maruah negara dan mempertahankan integriti institusi kenegaraan.
Semalam di Dewan Rakyat, Anwar memaklumkan bahawa 70% hingga 80% daripada kos lawatan rasmi ke lima negara ditanggung oleh syarikat swasta yang turut mengikuti urusan itu.
Pada masa sama, Hilman berkata, pengakuan itu disifatkan sebagai bukti kematian reformasi yang diperjuangkan kerajaan pimpinan Pakatan Harapan.
Beliau turut menggunakan contoh akta perundangan sama di Singapura yang mana pada 25 September lepas, mantan Menteri Pengangkutan Singapura S. Iswaran didakwa dan mengaku bersalah di atas tuduhan menerima suapan sebagai penjawat awam di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan.
“Undang-undang yang dikuatkuasakan di Singapura adalah sama dengan undang-undang yang dikuatkuasakan di Malaysia kerana Malaysia dan Singapura mempunyai sistem perundangan serupa berdasarkan ‘English Common Law’.
“Seksyen 165 Kanun Keseksaan di Singapura mempunyai kandungan sama dengan di Malaysia dan kes yang dibawa terhadap mantan Menteri Pengangkutan Singapura itu merupakan contoh bagaimana seorang penjawat awam boleh dituduh dan dihukum di bawah seksyen sama,” tambahnya.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI