BANGI, Rabu – Penceramah bebas, Ahmad Adnin Roslan menyifatkan tabiat dan perlakuan mendengar lagu APT hasil kolaborasi Rose Blackpink dan artis Barat pro-Zi0nis, Bruno Mars sebagai ‘zina telinga’.
Dalam satu hantaran di Tiktok, Adnin Roslan dilihat menerangkan setiap bait-bait lirik tersebut mengandungi unsur yang mengajak kepada pergaulan bebas, zina dan pengambilan alkohol yang dianggapnya bertentangan dengan prinsip agama Islam itu sendiri.
“Zina bukan sekadar zina kemaluan (melakukan persetubuhan luar nikah) tetapi ada juga zina mata (melihat benda haram), zina hati (membayang benda haram), dan zina telinga (mendengar benda haram),” ujar Ustaz Adnin.
Jelasnya, mendengar lagu yang berunsurkan elemen tidak bermoral ianya termasuk di dalam kategori zina telinga kerana ia boleh merosakkan iman dan hati seorang muslim.
Katanya lagi, selain Bruno Mars yang merupakan pendukung tegar Israel zionis terdapat juga barisan komposer lagu tersebut yang secara terang-terangan merupakan penyokong ideologi Zionis dan berpihak kepada Israel.
Dengan itu, beliau menegaskan bahawa masyarakat perlu berwaspada terhadap hiburan sebegitu yang dianggap sebagai alat yang kian melalaikan umat Islam secara halus.
Tegasnya, ramai umat Islam di negara ini yang begitu semangat membenci Israel, namun dengan mudahnya terpengaruh dan lalai apabila zionis menyajikan hiburan sehingga mengorbankan prinsip agama semata-mata untuk tular.
Sebelum ini, di media sosial khususnya di Malaysia giat menjalankan kempen memboikot daripada mendengar, menyokong dan menularkan lagu APT daripada album tunggal Rose Blackpink hasil kolaborasi bersama Bruno Mars sejak 18 Oktober lalu.
Sumber: KOSMO
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI