Oleh: Azzman Jamal
BANGI, Isnin – Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Adam Adli dijemput hadir ke Istana Kehakiman di Putrajaya bagi menyertai Solidariti bersama bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Pengarah Komunikasi Pemuda Barisan Nasional (BN), Neow Choo Seong berkata, Adam Adli sebelum ini cukup dikenali dan disanjungi anak-anak muda kerana memperjuangkan reformasi keadilan dan menentang kezaliman.
Malah, katanya, Timbalan Menteri Belia dan Sukan itu juga mempunyai pengalaman luas mengetuai beberapa siri demonstrasi jalanan ketika era pentadbiran terdahulu.
“Ini juga selaras dengan kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri yang mengaku bahawa beberapa pendakwaan terhadap Datuk Seri Najib Razak dan keluarga adalah bersifat terburu-buru dan dendam politik sehingga wujud banyak kecacatan.
“Atas keikhlasan dan semangat Kerajaan Perpaduan, maka adalah wajar agar AMK dan sayap pemuda PH, dapat bersama dengan Pemuda BN dalam perhimpunan kali ini.
“Dalam hal ini, Pemuda BN ingin menjemput agar YB Adam Adli dan rakan-rakan dari AMK serta sayap pemuda PH untuk menuntut keadilan dalam sistem perundangan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, sebagai barisan pemimpin pelapis, semua mempunyai tanggungjawab bersama untuk menegakkan keadilan sistem perundangan negara dan menghentikan dendam politik.
Dalam pada itu, Neow berkata, tidak ada keperluan untuk Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menarik balik kenyataan beliau berhubung pengampunan Diraja Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Katanya, kenyataan yang dikeluarkan Akmal tidak bercanggah dengan undang-undang, justeru, pemimpin UMNO itu tidak melakukan apa-apa kesalahan.
Jelasnya, apa yang dinyatakan Akmal adalah bersifat pertanyaan yang berniat untuk mendapatkan penjelasan sejurus kenyataan Jabatan Peguam Negara (AGC) pada 28 Disember lalu berhubung isu pengampunan Diraja.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI