Oleh: Wartawan TV Pertiwi
BANGI, Rabu – Adik kepada Presiden UMNO iaitu Datuk Abdul Hakim Hamidi secara rasmi menyertai PAS seusai menyerahkan borang keahliannya kepada Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang pada Selasa.
Perkara itu diumumkan Ahli Parlimen Parit Buntar, Mohd Misbahul Munir Masduki di dalam laman Facebooknya serta memaklumkan Abdul Hakim turut mendaftarkan dirinya sebagai Ahli PAS seumur hidup.
“Semoga dengan kehadiran beliau dapat mengukuhkan lagi hubungan pimpinan UMNO yang cintakan perpaduan berlandaskan Islam,” katanya.
Menerusi hantaran video tersebut, kelihatan Abdul Hakim sedang menyerahkan borangnya kepada Abdul Hadi di Ibu Pejabat PAS di Kuala Lumpur.
Dalam pada itu, Hakim memberitahu alasan disebalik tindakan menyertai PAS adalah kerana beliau mendakwa perjuangan UMNO yang diketuai abangnya itu semakin lemah dalam menjaga hak Melayu dan Islam.
Katanya, beliau ingin kembali kepada perjuangan keluarganya iaitu bapanya Hamidi Abdul Fattah juga pernah menjadi seorang aktivis PAS.
Sumber: FB Mohd Misbahul Munir Masduki
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI