Oleh Wartawan TV Pertiwi
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg menyelar cadangan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad agar Sarawak membantu negeri lain di Semenanjung.
Beliau berkata, cadangan itu tidak munasabah kerana Sarawak sendiri perlu membelanjakan kewangannya untuk pembangunan terutama di kawasan pedalaman, lapor Suara Sarawak.
“Memang betul Sarawak sudah mencapai status berpendapatan tinggi, tetapi banyak lagi keperluan rakyat kita terutama di kampung yang masih belum diselesaikan.
“Sebab itu tumpuan kerajaan Sarawak sekarang adalah untuk membangunkan orang kampung kita sendiri, bukan kampung orang lain.
“Banyak yang kerajaan Sarawak kena tanggung sendiri seperti menaik taraf atau membina sekolah yang mana kita mendahulukan peruntukan untuk melaksanakannya,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas merasmikan Persidangan Cetak Biru Kemampanan Sarawak di Kuching hari ini.
Dr Mahathir semalam menyarankan supaya Sarawak membantu negeri lain yang lebih mundur selepas mencapai status negeri berpendapatan tinggi.
Katanya, Bumi Kenyalang sudah menjana banyak wang dengan belanjawannya mencecah RM11 bilion berbanding Kedah yang hanya RM700 juta.
Abang Johari berkata, banyak pendapatan persekutuan yang tidak dinikmati Sarawak terutama dari segi royalti minyak dan percukaian.
“Kerajaan Persekutuan mendapat banyak keuntungan hasil minyak, Petronas buat duit bagi kepada pusat, tetapi Sarawak hanya mendapat hasil daripada cukai jualan sahaja.
“Kami menguruskan ekonomi dengan baik, sebab itu kita mampu menjadi negeri berpendapatan tinggi, jadi negeri lain terpulanglah kepada mereka,” katanya.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI