Oleh: Azzman Jamal
BANGI, Jumaat – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa nafi mengeluarkan sebarang kenyataan media berhubung adendum penahanan di rumah seperti yang tular di media sosial.
Beliau membuat penafian itu menerusi hantaran di akaun Facebooknya hari ini.
“Untuk maklumkan, kenyataan media ini adalah palsu dan tidak pernah dikeluarkan oleh saya.
“Ini adalah satu tindakan yang tidak bertanggungjawab.
“Saya akan mengambil tindakan undang-undang kepada sesiapa yang mengeluarkan dan menyebarkan kenyataan media palsu ini,” katanya.
Terdahulu, tular satu ‘kenyataan media’ bertajuk Adendum Penahanan Rumah yang disertakan nama Zaliha serta jawatannya bertarikh 6 September 2024.
Kenyataan palsu itu menyebut kononnya beliau sebagai menteri mengesahkan adendum yang diterima oleh Sultan Pahang bertarikh 29 Januari lalu sebagai benar.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI