BANGI, Jumaat – Kerajaaan mengumumkan kadar gaji minimum dinaikkan kepada RM1,700 daripada RM1,500 bermula 1 Februari tahun depan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan turut memutuskan penangguhan kuat kuasa gaji minimum RM1,700 membabitkan majikan yang mempunyai kurang daripada lima pekerja bagi tempoh 6 bulan iaitu berkuat kuasa pada 1 Ogos 2025.
“Kementerian Sumber Manusia juga akan menerbitkan garis panduan gaji permulaan bagi semua sektor pekerjaan untuk rujukan pekerja.
“Umpamanya, gaji permulaan juruteknik industri dan pengeluaran (RM2,290), jurutera mekanikal (RM3,380) dan profesional pereka kandungan kreatif sebanyak RM2,985,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi Pembentangan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat, hari ini.
Mengulas lanjut, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, dasar gaji progresif sudah dimulakan pada Jun lalu dan akan dikuatkuasakan sepenuhnya pada tahun depan.
Katanya, dasar gaji progresif diperuntukkan sebanyak RM200 juta dan akan memanfaatkan 50,000 pekerja.
“Tahun depan, RM250 juta akan disediakan untuk meningkatkan penyertaan lebih ramai rakyat miskin tegar mengikuti program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) bagi menambah pendapatan mereka,” tambah beliau.
IKLANKAN BISNES ATAU PRODUK ANDA DI TV PERTIWI